Kacang hijau untuk cantik
SIAPA sangka kacang hijau atau nama saintifiknya phaseolus radiatus L yang selama ini digunakan sebagai bahan masakan menjadi bahan utama membantu mendapatkan kulit yang lebih mulus, lembut dan berseri.Antara kandungan bahan yang ada pada kacang hijau ialah protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosfor, vitamin dan vitamin B2.
Selain mencantik dan memulihkan kulit wajah daripada masalah kelesuan, kacang hijau turut digunakan dari segi membantu membuang angin serta melancarkan proses pelawasan badan.
Tanaman kacang hijau banyak diusahakan di sawah dan ladang yang bertanah lembap serta perlu mendapatkan sinar matahari secukupnya. Tumbuhan perdu berbatang basah dan tingginya boleh mencapai tiga meter ini adalah tanaman pendek bercabang tegak.
Walaupun tidak ramai menggunakan kacang hijau sebagai bahan kecantikan, ia tidak menggentarkan semangat pengusaha pusat kecantikan Aura Wellness Spa, Sivananthan dan isterinya, Mithila Sathasivam untuk mengetengahkan produk berkenaan.
Proses rawatan menerusi spa muka Aura selama 45 minit itu menyediakan urutan wajah menggunakan minyak aroma selama 15 minit bagi menghilangkan ketegangan muka selepas seharian bekerja.
Seluruh wajah diurut menggunakan teknik tertentu bagi menghilangkan tekanan serta memberikan kesan kelegaan maksimum kepada pelanggan.
Kemudian proses sental wajah menggunakan kacang hijau mula dilakukan. Kacang hijau berkenaan dilumur ke seluruh wajah terlebih dulu dan dibiarkan selama 20 minit sebelum dibersihkan.
Wajah pelanggan juga akan diletakkan pupur pulut hitam selama 20 minit. Lapisan berkenan perlu disapu dengan jumlah yang banyak untuk mendapatkan kesan diingini.
Ketika ini pelanggan akan berasa kulit wajah mereka seolah-olah digigit semut kecil, bagaimanapun ia tidak memudaratkan dan berlanjutan hingga pupur berkenaan kering sepenuhnya.
Spa muka berkenaan lain daripada yang lain menerusi bahan yang digunakan manakala harga ditawarkan juga amat berpatutan iaitu RM48.
Semua produk yang digunakan dalam setiap rawatan disediakan spa berkenaan menggunakan bahan semula jadi daripada jenama Tanamera yang tidak memberikan sebarang kesan memudaratkan kepada pelanggan.
Mithila berkata, selain rawatan wajah menggunakan kacang hijau, pusat kecantikan itu turut menyediakan rawatan urutan untuk ibu lepas bersalin secara tradisional yang diubah mengikut keperluan pengguna masa kini.
Malah tukang urut disediakan juga memiliki kepakaran yang diiktiraf kerana sudah menghadiri kursus diperlukan bagi memperoleh sijil melakukan rawatan berkenaan.
Menurutnya, walaupun digabungkan dengan cara moden untuk melakukan rawatan urutan lepas bersalin, ia tidak sedikit pun mengubah perkara asas yang perlu dilakukan terhadap ibu lepas bersalin.
"Kami masih mengikut cara lama walaupun kaedah digunakan berlainan kerana pantang larang lepas bersalin masih sama dan ia wajar diikuti untuk kebaikan wanita berkenaan.
"Jangan memandang remeh perkara ini kerana ia boleh memberi kesan terhadap kesihatan diri pada masa depan," katanya ketika ditemui di pusat kecantikan berkenaan di No 11-1, Jalan Remia 4, Bandar Botanic, Klang, Selangor baru-baru ini.
Antara pakej rawatan lain disediakan ialah spa Aura Tradisional Boreh berharga RM98 selama satu jam 30 minit serta spa pengantin Aura yang boleh dicuba pasangan bakal raja sehari bernilai RM198 untuk tiga jam rawatan.
Selain itu, spa terbabit turut memberikan potongan harga sehingga 50 peratus kepada pelanggan yang membuat rawatan pada setiap Ahad.
Info:
Kajian menunjukkan perubahan ketara ke atas kandungan glukos darah, toleransi glukos dan keadaan umum pesakit. Kacang hijau juga berkhasiat untuk membantu melegakan kembung perut dan kencing tertahan. Ia membantu untuk menawarkan logam berat, ubat pertanian dan pelbagai racun dalam makanan. Ia dapat mempercepatkan penguraian bahan bertoksik dalam badan untuk dibuang keluar.
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adna
|
No comments:
Post a Comment