Menepis Ancaman Syaitan
Abu Numair Nawawi B. Subandi

Syaitan  adalah makhluk Allah dari kalangan jin yang diciptakan dari api.  Manakala Iblis adalah salah satu nama dari kalangan syaitan. Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyatakan:
خُلِقَتْ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ
“Malaikat  diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyalaan api dan Adam  (manusia) diciptakan dari apa yang telah dijelaskan kepada kamu.” (Hadis  Riwayat Muslim, 14/273, no. 5314)
Detik  mula kesesatan syaitan adalah apabila ia takbur lagi ujub dengan  penciptaan dirinya, mempertikaikan perintah Allah dengan mendahulukan  logik, menghina ciptaan Allah, serta ingkar dengan kebenaran dan enggan  sujud kepada Adam. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا لَكَ أَلا تَكُونَ مَعَ السَّاجِدِينَ
قَالَ لَمْ أَكُنْ لأسْجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقْتَهُ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ
قَالَ لَمْ أَكُنْ لأسْجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقْتَهُ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ
Allah  berkata kepada Iblis, “Wahai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut  bersama-sama mereka yang sujud itu?” Iblis menjawab, “Aku sekali-kali  tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat  yang kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk.” (Surah  al-Hijr, 15: 32-33)
Syaitan  merupakan tentera Iblis yang sesat lagi menyesatkan. Bahkan ia adalah  makhluk yang dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga hari  kiamat serta akan dihumban ke dalam jahannam bersama-sama para  pengikutnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:
قَالَ فَاخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ
وَإِنَّ عَلَيْكَ اللَّعْنَةَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ
قَالَ رَبِّ فَأَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ
إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ
قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لأزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأرْضِ وَلأغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ
إِلا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
وَإِنَّ عَلَيْكَ اللَّعْنَةَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ
قَالَ رَبِّ فَأَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ
إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ
قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لأزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأرْضِ وَلأغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ
إِلا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
Allah  berkata (kepada Iblis), “Keluarlah dari Syurga, kerana sesungguhnya  engkau adalah terkutuk. Dan sesungguhnya laknat ke atas engkau tetap  akan menimpa sehingga hari kiamat.” Iblis menjawab, “Ya Tuhan-ku, maka  berilah tangguh kepadaku sehingga hari kebangkitan.” Allah berfirman,  Maka engkau termasuk yang diberi tangguh sehingga ke suatu waktu yang  telah ditentukan.” Iblis berkata, “Wahai Tuhanku, disebabkan Engkau  telah memutuskan bahawa aku ini sesat, maka aku berjanji akan  memperindahkan (segala bentuk kemungkaran) kepada Adam dan keturunannya  di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali  hamba-hamba-Mu yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka.” (Surah al-Hijr,  15: 34-39)
Di ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berkata kepada Iblis:
اذْهَبْ فَمَنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزَاؤُكُمْ جَزَاءً مَوْفُورًا
وَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ مِنْهُمْ بِصَوْتِكَ وَأَجْلِبْ عَلَيْهِمْ بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِي الأمْوَالِ وَالأولادِ وَعِدْهُمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلا غُرُورًا
وَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ مِنْهُمْ بِصَوْتِكَ وَأَجْلِبْ عَلَيْهِمْ بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِي الأمْوَالِ وَالأولادِ وَعِدْهُمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلا غُرُورًا
“Pergilah!  Kemudian sesiapa yang mengikuti engkau dari kalangan mereka, maka  sesungguhnya neraka jahannamlah balasan untuk kamu semua sebagai balasan  yang mencukupi. Desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat  memujuknya dengan suaramu, dan kerahkanlah para pendukung kamu yang  berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka. Dan  bersama-samalah dengan mereka dalam urusan harta dan anak-anak, dan  berikanlah janji kepada mereka.” Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh  syaitan itu melainkan tipu-daya semata-mata. (Surah al-Isra’, 17: 63-64)
Demikian  serba ringkas petikan penjelasan kesesatan syaitan dan janji mereka  kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk menyesatkan manusia ke lembah  kesyirikan. Hanya mereka yang mukhlis (ikhlas) akan mendapat  perlindungan dan jaminan Allah dari ancaman jerat-jerat syaitan.
Selain  syaitan dari kalangan jin secara hakiki, syaitan juga wujud dalam  kalangan manusia dari sudut sifat. Iaitu sifat menghasut manusia kepada  kejahatan dengan perkataan-perkataan indah yang memperdaya. Serta dengan  cara mengada-adakan sesuatu (dalam agama) yang kelihatan indah supaya  orang tertarik lalu menjadi sesat. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَكَذَلِكَ  جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الإنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي  بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ  رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
“Dan  demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh, iaitu  syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian  mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang  indah-indah untuk menipu manusia. Jika Tuhanmu menghendaki, nescaya  mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang  mereka ada-adakan.” (Surah al-An’am, 6: 112)
Menepis Gangguan Syaitan
Sebagaimana  disebutkan dalam banyak dalil al-Qur’an dan al-Hadis, syaitan tidak  akan mampu mengancam umat manusia selagi mereka ikhlas dalam mengikuti  dan menegakkan agama Allah. Pada hari ini, keikhlasan dalam beragama  begitu sukar ditemui. Sehingga pada hari ini ada yang mengamalkan agama  semata-mata kerana mahu meraih kerjaya, harta, kerana bertaqlid kepada  tuan guru, demi parti politik, demi mendapat kedudukan, dan demi  memperjuangkan aliran atau kelompoknya semata-mata.
Keduanya,  syaitan tidak mampu menggugat orang-orang yang memiliki iman dan  ketaqwaan yang teguh. Sebaliknya syaitan mudah menguasai orang-orang  yang tidak menjaga diri dari kesyirikan serta suka mengikuti perangai  dan jejak langkah syaitan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُمْ بِهِ مُشْرِكُونَ
إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُمْ بِهِ مُشْرِكُونَ
“Sesungguhnya  syaitan itu tidak memiliki sebarang kekuasaan terhadap orang-orang yang  beriman dan bertaqwa kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya kekuasaan  syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan ia pemimpin  mereka, dan orang-orang yang melakukan kesyirikan kepada Allah dengan  sebab hasutan mereka.” (Surah an-Nahl, 16: 99-100)
Di  antara contoh perangai dan jejak langkah syaitan yang disebutkan dalam  al-Qur’an dan as-Sunnah adalah mendahulukan akal dari naqli, bersikap  takbur, ujub, sombong, suka megeluarkan bunyi ketika menguap dan tidak  menahannya (atau menutupnya), makan atau minum dengan tangan kiri, suka  membazir, membuang masa, sengaja tidak menutup makanan, sengaja keluar  ketika waktu senja, suka bersendirian, suka menimbulkan perselisihan,  dan suka memecah-belahkan perpaduan umat Islam.
Ketiga,  syaitan menjauhi orang yang sentiasa berzikir mengingati Allah  Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu dengan zikir-zikir yang dianjurkan atau  disyari’atkan oleh Allah Subhaanhu wa Ta’ala sama ada melalui Kitab-Nya  atau sunnah Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Terdapat  beberapa bentuk zikir yang disunnahkan dalam rangka menepis ancaman dan  gangguan syaitan. Iaitu dengan membaca basmalah, isti’azah atau  ta’awwudz (doa-doa memohon perlindungan kepada Allah), dan mengamalkan  ayat-ayat atau surah-surah tertentu dari al-Qur’an sebagaimana anjuran  as-sunnah.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ
“Dan  jika engkau digoda dengan suatu godaan dari syaitan, maka mohonlah  perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha  Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka  disentuh oleh suatu bentuk was-was (godaan) dari syaitan, mereka pun  ingat (kepada Allah) lalu dengan itu mereka melihat (jalan yang benar).”  (al-A’raaf, 7: 200-201)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا  دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ  طَعَامِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ وَإِذَا  دَخَلَ فَلَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ  أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَإِذَا لَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ طَعَامِهِ  قَالَ أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ
“Apabila  seorang lelaki masuk ke rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah ketika  dia masuk dan ketika dia makan, maka  syaitan pun berkata (kepada  kaumnya), “Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk  kamu semua.” Apabila dia masuk tanpa berzikir kepada Allah ketika dia  masuk, maka syaitan pun berkata, “Kamu semua akan mendapat tempat  bermalam.” Apabila dia tidak berzikir ketika makan, maka syaitan pun  berkata, “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam berserta makan  malam.” (Hadis Riwayat Muslim, 10/293, no. 6762)
Sebagai  contoh, dijelaskan dalam hadis yang lain, di antara zikir (atau doa)  ketika hendak makan adalah membaca basmalah, manakala setelah makan pula  dengan mengucapkan hamdalah (pujian kepada Allah). Zikir di ketika  hendak tidur pula antaranya dengan membaca ayat al-Kursi, atau surah  al-Ikhlas dan al-Mu’awwidzatain (surah an-Naas dan al-Falaq).
Demikianlah  Allah dan Rasul-Nya mengajarkan kepada kita bagaimana menepis ancaman  dan mengusir gangguan syaitan yang terlaknat. Malah dalam beberapa hadis  yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turut menjelaskan kaedah  tuntas mengusir atau menjauhkan syaitan dari menghuni rumah-rumah kita.  Bukan dengan kenduri doa selamat, bukan dengan ritual “pagar rumah”,  bukan dengan menabur air garam, bukan dengan meniup asap kemenyan, bukan  dengan menggantung ayat-ayat al-Qur’an tertentu, bukan juga dengan  majlis bacaan Yasin, apatah lagi dengan memasang tangkal-tangkal.
Tetapi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Jangan  jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan itu  melarikan diri dari rumah yang di dalamnya dibacakan Surah al-Baqarah.”  (Hadis Riwayat Muslim, 4/182, no. 1300)
Selain  itu, Nabi turut menjelaskan boleh juga dengan mengamalkan bacaan ayat  al-Kursi di setiap waktu pagi dan petang, membaca dua ayat terakhir dari  surah al-Baqarah, dan juga dengan memperbanyakkan membaca al-Qur’an di  rumah secara umum di samping berusaha bersungguh-sungguh mengamalkannya.  Perlu kita fahami bahawa syaitan tidak takut sedikitpun dengan  al-Qur’an, tetapi syaitan amat takut dengan orang yang membaca dan  mengamalkan al-Qur’an. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment