Sunday, July 31, 2011

Menepis Ancaman Syaitan



Menepis Ancaman Syaitan

Abu Numair Nawawi B. Subandi


Syaitan adalah makhluk Allah dari kalangan jin yang diciptakan dari api. Manakala Iblis adalah salah satu nama dari kalangan syaitan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyatakan:

خُلِقَتْ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ

“Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyalaan api dan Adam (manusia) diciptakan dari apa yang telah dijelaskan kepada kamu.” (Hadis Riwayat Muslim, 14/273, no. 5314)

Detik mula kesesatan syaitan adalah apabila ia takbur lagi ujub dengan penciptaan dirinya, mempertikaikan perintah Allah dengan mendahulukan logik, menghina ciptaan Allah, serta ingkar dengan kebenaran dan enggan sujud kepada Adam. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا لَكَ أَلا تَكُونَ مَعَ السَّاجِدِينَ
قَالَ لَمْ أَكُنْ لأسْجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقْتَهُ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ

Allah berkata kepada Iblis, “Wahai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama-sama mereka yang sujud itu?” Iblis menjawab, “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk.” (Surah al-Hijr, 15: 32-33)

Syaitan merupakan tentera Iblis yang sesat lagi menyesatkan. Bahkan ia adalah makhluk yang dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga hari kiamat serta akan dihumban ke dalam jahannam bersama-sama para pengikutnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:

قَالَ فَاخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ
وَإِنَّ عَلَيْكَ اللَّعْنَةَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ
قَالَ رَبِّ فَأَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ
إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ
قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لأزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأرْضِ وَلأغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ
إِلا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

Allah berkata (kepada Iblis), “Keluarlah dari Syurga, kerana sesungguhnya engkau adalah terkutuk. Dan sesungguhnya laknat ke atas engkau tetap akan menimpa sehingga hari kiamat.” Iblis menjawab, “Ya Tuhan-ku, maka berilah tangguh kepadaku sehingga hari kebangkitan.” Allah berfirman, Maka engkau termasuk yang diberi tangguh sehingga ke suatu waktu yang telah ditentukan.” Iblis berkata, “Wahai Tuhanku, disebabkan Engkau telah memutuskan bahawa aku ini sesat, maka aku berjanji akan memperindahkan (segala bentuk kemungkaran) kepada Adam dan keturunannya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka.” (Surah al-Hijr, 15: 34-39)

Di ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berkata kepada Iblis:

اذْهَبْ فَمَنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزَاؤُكُمْ جَزَاءً مَوْفُورًا
وَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ مِنْهُمْ بِصَوْتِكَ وَأَجْلِبْ عَلَيْهِمْ بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِي الأمْوَالِ وَالأولادِ وَعِدْهُمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلا غُرُورًا

“Pergilah! Kemudian sesiapa yang mengikuti engkau dari kalangan mereka, maka sesungguhnya neraka jahannamlah balasan untuk kamu semua sebagai balasan yang mencukupi. Desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu, dan kerahkanlah para pendukung kamu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka. Dan bersama-samalah dengan mereka dalam urusan harta dan anak-anak, dan berikanlah janji kepada mereka.” Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu-daya semata-mata. (Surah al-Isra’, 17: 63-64)

Demikian serba ringkas petikan penjelasan kesesatan syaitan dan janji mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk menyesatkan manusia ke lembah kesyirikan. Hanya mereka yang mukhlis (ikhlas) akan mendapat perlindungan dan jaminan Allah dari ancaman jerat-jerat syaitan.

Selain syaitan dari kalangan jin secara hakiki, syaitan juga wujud dalam kalangan manusia dari sudut sifat. Iaitu sifat menghasut manusia kepada kejahatan dengan perkataan-perkataan indah yang memperdaya. Serta dengan cara mengada-adakan sesuatu (dalam agama) yang kelihatan indah supaya orang tertarik lalu menjadi sesat. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الإنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia. Jika Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.” (Surah al-An’am, 6: 112)

Menepis Gangguan Syaitan

Sebagaimana disebutkan dalam banyak dalil al-Qur’an dan al-Hadis, syaitan tidak akan mampu mengancam umat manusia selagi mereka ikhlas dalam mengikuti dan menegakkan agama Allah. Pada hari ini, keikhlasan dalam beragama begitu sukar ditemui. Sehingga pada hari ini ada yang mengamalkan agama semata-mata kerana mahu meraih kerjaya, harta, kerana bertaqlid kepada tuan guru, demi parti politik, demi mendapat kedudukan, dan demi memperjuangkan aliran atau kelompoknya semata-mata.

Keduanya, syaitan tidak mampu menggugat orang-orang yang memiliki iman dan ketaqwaan yang teguh. Sebaliknya syaitan mudah menguasai orang-orang yang tidak menjaga diri dari kesyirikan serta suka mengikuti perangai dan jejak langkah syaitan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُمْ بِهِ مُشْرِكُونَ

“Sesungguhnya syaitan itu tidak memiliki sebarang kekuasaan terhadap orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya kekuasaan syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan ia pemimpin mereka, dan orang-orang yang melakukan kesyirikan kepada Allah dengan sebab hasutan mereka.” (Surah an-Nahl, 16: 99-100)

Di antara contoh perangai dan jejak langkah syaitan yang disebutkan dalam al-Qur’an dan as-Sunnah adalah mendahulukan akal dari naqli, bersikap takbur, ujub, sombong, suka megeluarkan bunyi ketika menguap dan tidak menahannya (atau menutupnya), makan atau minum dengan tangan kiri, suka membazir, membuang masa, sengaja tidak menutup makanan, sengaja keluar ketika waktu senja, suka bersendirian, suka menimbulkan perselisihan, dan suka memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

Ketiga, syaitan menjauhi orang yang sentiasa berzikir mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu dengan zikir-zikir yang dianjurkan atau disyari’atkan oleh Allah Subhaanhu wa Ta’ala sama ada melalui Kitab-Nya atau sunnah Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Terdapat beberapa bentuk zikir yang disunnahkan dalam rangka menepis ancaman dan gangguan syaitan. Iaitu dengan membaca basmalah, isti’azah atau ta’awwudz (doa-doa memohon perlindungan kepada Allah), dan mengamalkan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dari al-Qur’an sebagaimana anjuran as-sunnah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ

“Dan jika engkau digoda dengan suatu godaan dari syaitan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh suatu bentuk was-was (godaan) dari syaitan, mereka pun ingat (kepada Allah) lalu dengan itu mereka melihat (jalan yang benar).” (al-A’raaf, 7: 200-201)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَإِذَا لَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ طَعَامِهِ قَالَ أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ

“Apabila seorang lelaki masuk ke rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah ketika dia masuk dan ketika dia makan, maka syaitan pun berkata (kepada kaumnya), “Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk kamu semua.” Apabila dia masuk tanpa berzikir kepada Allah ketika dia masuk, maka syaitan pun berkata, “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam.” Apabila dia tidak berzikir ketika makan, maka syaitan pun berkata, “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam berserta makan malam.” (Hadis Riwayat Muslim, 10/293, no. 6762)

Sebagai contoh, dijelaskan dalam hadis yang lain, di antara zikir (atau doa) ketika hendak makan adalah membaca basmalah, manakala setelah makan pula dengan mengucapkan hamdalah (pujian kepada Allah). Zikir di ketika hendak tidur pula antaranya dengan membaca ayat al-Kursi, atau surah al-Ikhlas dan al-Mu’awwidzatain (surah an-Naas dan al-Falaq).

Demikianlah Allah dan Rasul-Nya mengajarkan kepada kita bagaimana menepis ancaman dan mengusir gangguan syaitan yang terlaknat. Malah dalam beberapa hadis yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turut menjelaskan kaedah tuntas mengusir atau menjauhkan syaitan dari menghuni rumah-rumah kita. Bukan dengan kenduri doa selamat, bukan dengan ritual “pagar rumah”, bukan dengan menabur air garam, bukan dengan meniup asap kemenyan, bukan dengan menggantung ayat-ayat al-Qur’an tertentu, bukan juga dengan majlis bacaan Yasin, apatah lagi dengan memasang tangkal-tangkal.

Tetapi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

“Jangan jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan itu melarikan diri dari rumah yang di dalamnya dibacakan Surah al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/182, no. 1300)

Selain itu, Nabi turut menjelaskan boleh juga dengan mengamalkan bacaan ayat al-Kursi di setiap waktu pagi dan petang, membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah, dan juga dengan memperbanyakkan membaca al-Qur’an di rumah secara umum di samping berusaha bersungguh-sungguh mengamalkannya. Perlu kita fahami bahawa syaitan tidak takut sedikitpun dengan al-Qur’an, tetapi syaitan amat takut dengan orang yang membaca dan mengamalkan al-Qur’an. Wallahu a’lam.



an-nawawi.blogspot.com

Jumaat, Julai 29, 2011

http://an-nawawi.blogspot.com/2011/07/menepis-ancaman-syaitan.html

No comments:

Post a Comment