Seringkali saya ditanya oleh pesakit soalan ini : “Dah dirawat, gangguan ni boleh datang balik tak?”
Biasanya soalan sebegini keluar dari mulut pesakit yang mengalami masalah gangguan yang melibatkan samada gangguan sihir, saka dan seumpamanya. Mereka telah berjumpa dengan ramai perawat dan sesetengahnya pernah menjalani rawatan yang bercanggah dengan syariat.
Ada yang mendakwa pernah berjumpa dengan puluhan bahkan ada yang melebihi 100 orang perawat namun masalahnya tidak selesai. Pesakit mungkin sembuh buat seketika dan gangguan itu datang lagi beberapa waktu kemudian. Golongan terdesak inilah yang sering terjebak dengan bentuk rawatan yang bercanggah dengan Islam. Ada di kalangan mereka yang hampir berputus asa. Manakan tidak, beribu duit habis tapi masalah tidak selesai.
Di sini saya ingin berkongsi maklumat dan juga pengalaman. Allah s.w.t. menurunkan penyakit adalah ujian untuk hamba-hambaNya. Jika kita bersabar dan berusaha tanpa berputus asa Insya Allah akan bertemu jua penawarnya. Allah s.w.t. juga menurunkan penawar di samping penyakit, cuma kitalah sebagai hamba perlu berikhtiar. Jika ikhtiar kita itu selari dengan syariat, kita akan mendapat 2 faedah iaitu:
- Kesembuhan dan
- Pahala
Jika kita berikhtiar dengan kaedah yang menyalahi syariat kemungkinan kita dan mungkin tidak tetapi kita akan berdosa dan juga boleh terjebak dalamsyirik kepada Allah s.w.t.
Adalah tidak memadai dengan hanya berjumpa perawat yang hebat-hebat tetapi diri dan keluarga pesakit masih berada di takuk lama. Mereka sanggup kemana pun samada dekat mahupun jauh untuk berubat namun amalan Islam dalam kehidupan diri dan keluarga tidak berubah. Ada di kalangan mereka masih derhaka kepada Allah s.w.t. dengan mengenepikan perintah-perintah Allah s.w.t. Oleh itu kita perlu mengambil kira 2 perkara dalam mencari penyelesaian masalah gangguan atau apa jua masalah:
- Rawatan yang tidak bercanggah dengan syariat.
- Amalan
Haruslah setiap kita mencari kaedah rawatan yang benar dan tidak memadai setakat berjumpa perawat tetapi lebih penting lagi ialah mesti ada peningkatan amal bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Kesihatan dan apa jua nikmat yang kita perolehi sebenarnya adalah untuk kita mentaati perintah Allah s.w.t.
Jangan hanya mencari perawat tetapi tidak berusaha untuk meningkatkan iman dan amal soleh. Penyembuh mutlak hanyalah Allah s.w.t. tiada gunanya sihat jika derhaka kepada Allah s.w.t. Kita inginkan kesihatan, kebahagian dan sebaginya adalah untuk memudahkan bagi mengabdikan diri kita kepada Allah s.w.t.
Ada pesakit yang langsung tidak bersedia untuk solat apatah lagi untuk melakukan amalan-amalan lain. Sekiranya kita tidak beramal syaitan akan mendominasi kehidupan kita. Jadi tidak hairanlah masalah tidak selesai. Nasihat saya untuk kita semua, teruskan usaha mencari kesmbuhan dengan jalan yang halal dan tingkatkan amalan untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t. Maha Penyembuh dan Maha Melindungi hamba-hambaNya.
Wallahu A’lam.
sumber : http://www.penawar.com/v9/?p=409
No comments:
Post a Comment