Showing posts with label menguruskan Syaitan. Show all posts
Showing posts with label menguruskan Syaitan. Show all posts

Friday, February 28, 2014

Syaitan Merasuk Manusia dalam keadaan yang Tidak Dijangkakan...

 
 
SYAITAN MERASUK MANUSIA DLM KONDISI YG TIDAK KITA JANGKAKAN

Syaitan mampu untuk bergerak dalam diri manusia dan melakukan pelbagai pengaruh ke atas manusia yang dimasukinya. Dalam suasana itu manusia yang dipengaruhi masih dalam keadaan yang normal. Akan tetapi adakalanya syaitan dapat mempengaruhi manusia hingga mengubah perwatakan dan tingkah lakunya, menjadi seolah-olah orang yang gila. Inilah yang disebut sebagai kerasukan atau histeria. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan tentang kemampuan syaitan ini:

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba

tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya

orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu.

[al-Baqarah 2:275]


Kerasukan tidak saja terhad kepada orang yang melibatkan diri dalam urusniaga riba, tetapi meluas kepada pelbagai keadaan yang lain.
 
Merujuk kepada persoalan kerasukan dan hubungkaitnya dengan syaitan, manusia terbahagi kepada tiga golongan:

1.Mereka yang menafikannya. Golongan ini berkata, kerasukan tidak berpunca dari syaitan sebaliknya berpunca dari penyakit tertentu seperti gangguan saraf, perubahan hormon, tekanan jiwa (stress) dan sebagainya. Penyakit-penyakit ini dapat dihentikan dengan mengambil ubat.

2.Mereka yang berlebih-lebihan. Golongan ini mengakui bahawa kerasukan berpunca dari syaitan. Akan tetapi mereka berlebih-lebihan dalam menyandarkannya kepada syaitan sehingga apa jua perubahan tingkah laku (behaviour) yang dihadapi oleh seseorang, mereka menganggapnya sebagai kerasukan syaitan.

3.Mereka yang berada di pertengahan antara golongan pertama dan kedua.
 Golongan ketiga ini berkata kerasukan boleh berpunca dari penyakit dan boleh juga berpunca dari syaitan. Maka kerasukan pertama (penyakit) dihentikan dengan ubat-ubatan manakala kerasukan kedua (syaitan) dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika tidak pasti kerasukan yang dialami oleh seseorang sama ada berpunca dari penyakit atau syaitan, maka ia dihentikan dengan ubat dan zikir.

Ada pun hujah golongan pertama bahawa kerasukan hanya berpunca dari penyakit, mereka membuktikannya dengan pelbagai penemuan baru tentang apa yang sedang berlaku dalam badan. Bahkan dengan peralatan serba canggih masa kini, mereka dapat menunjuk secara tepat bahagian saraf yang sedang mengalami gangguan dan keadaan hormon badan yang tidak seimbang. Maka apabila diberi ubat, apa yang dianggap sebagai kerasukan dapat dihentikan.

Akan tetapi, sekali pun dengan segala penemuan dan alat canggih tersebut, tetap timbul satu persoalan yang masih tidak dapat dijawab oleh para pakar perubatan: Mengapa saraf mengalami gangguan dan mengapa sebahagian kelenjar merembeskan hormon secara berlebihan? Benar, bahawa semua itu dapat dihentikan dengan mengambil ubat tertentu. Akan tetapi mengapakah kerasukan berulang apabila ubat habis dimakan?

Jawapannya dapat diperolehi dengan mengkaji peranan syaitan. Apabila syaitan memasuki tubuh badan manusia, ia mampu mengganggu kestabilan saraf dan keseimbangan hormon. Bahkan ia mampu melakukan pelbagai lagi yang tidak dianggap sebagai kerasukan, seperti mematikan saraf (paralyse), menyumbat saluran darah (blood clot) dan merangsang sel-sel tertentu untuk berkembang dengan pantas secara tak terkawal (tumor and cancer). Semua ini amat mudah bagi syaitan dan semua ini akan diakui oleh sesiapa yang mengkaji secara teliti kesemua ciri-ciri syaitan yang dikupas dalam bab ini.


Walaubagaimana pun, ini tidaklah bererti semua penyakit dan gangguan tingkah laku berpunca dari syaitan. Sebahagiannya berpunca dari faktor lain seperti gizi pemakanan yang tidak seimbang, kecederaan fizikal, tekanan jiwa, usia tua dan sebagainya. Maka tidaklah benar anggapan golongan kedua bahawa semua perubahan kelakuan berpunca dari syaitan.


Yang benar adalah bahawa kerasukan mungkin berpunca dari penyakit dan mungkin juga berpunca dari syaitan. Maka apa yang berpunca dari penyakit, ia dihentikan dengan ubat-ubatan yang diberi oleh doktor pakar manakala apa yang berpunca dari syaitan, ia dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika tidak pasti sama ada kerasukan berpunca dari penyakit atau syaitan, maka kedua-dua kaedah digunakan serentak untuk menghentikannya.

Seterusnya, peranan syaitan dalam menyebabkan kerasukan kepada manusia terbahagi kepada dua kategori:

Kategori Pertama:

Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan kemahuannya sendiri. Sengaja syaitan merasuk manusia untuk menyesatkannya, mengkafirkannya, mensyirikkannya dan memasukkan mangsa tersebut ke dalam neraka. Semua ini dapat dicapai oleh syaitan apabila mangsa atau orang di sekelilingnya cuba mengubati kerasukan itu dengan cara yang berbeza dari tunjuk ajar Rasulullah, bahkan dengan cara yang dilarang oleh Islam.

Kategori Kedua:

Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan perintah tuannya. Ini disebut sebagai sihir. Sihir adalah satu tindakan jahat yang memerlukan dua unsur utama:

Manusia sebagai ahli sihir sekali gus merangkap jawatan “Tuan”.

Syaitan sebagai khadam yang melakukan kerja sihir yang diperintah oleh tuannya.

Melalui sihir syaitan dapat mencapai beberapa objektifnya.  
 
Secara terperinci:

· Objektif untuk Menyesatkan:
Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka tidak tahu cara perubatan sahih yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka berjumpa dengan mana-mana bomoh atau ustaz yang masyhur di sisi masyarakat untuk berubat dan menerima apa saja kaedah perubatan yang diberikan olehnya. Bahkan mereka tidak tahu apakah maksud jampi-jampian yang dibacakan ke atas mereka. Akibatnya, mereka telah meninggalkan jalan Rasulullah kepada jalan lain yang menyesatkan.


· Objektif untuk Memusyrikkan:
Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka meletakkan keyakinan bahawa pengaruh kesembuhan adalah dari bomoh atau ustaz yang sedang mengubatinya beserta bacaan-bacaan jampi mereka. Padahal satu-satunya pengaruh untuk kesembuhan ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Apabila keyakinan seseorang terhadap kuasa yang dapat memberi manfaat dan mudarat kepadanya beralih dari Allah kepada sesuatu yang lain, dia telah syirik kepada Allah.


· Objektif untuk Mengkafirkan:
Satu contoh mudah, apabila Jamal ingin berbuat jahat kepada Jamilah, dia akan menemui seorang ahli sihir bernama Ahmad dan menyampaikan hajatnya. Ahmad akan memerintah khadamnya, yakni syaitan, untuk membuat apa yang dihajatkan oleh Jamal ke atas Jamilah. Perbuatan itu pelbagai, dari muntah darah, gangguan pemikiran sehinggalah kepada kerasukan. Inilah yang lazim disebut sebagai “kena buat orang!”

Untuk melawan buatan sihir itu, Jamilah akan pergi menemui seorang ahli sihir lain bernama Kamal dan menyampaikan hajatnya. Kamal akan memerintahkan khadamnya, yakni syaitan, untuk membuatkan apa yang dihajatkan oleh Jamilah ke atas Jamal. Demikianlah ia berulang antara Jamal dan Jamilah.

Dalam contoh di atas, syaitan berjaya mengkafirkan kesemua Jamal, Jamilah, Ahmad dan Kamal. Sekali pun syaitan disebut sebagai “khadam”, sebenarnya ia adalah tuan kepada semua yang terbabit, termasuklah Ahmad dan Kamal. Syaitan hanya berpura-pura menjadi khadam asalkan dengan itu tercapailah objektifnya untuk mengkafirkan manusia.

Sesiapa saja yang terlibat dengan sihir, sama ada untuk menyihir atau melawan sihir dengan sihir, akan menjadi kafir
 
Berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Mereka mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan

dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman,

padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu,

akan tetapi syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya);

Kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir

dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat:

Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon),

sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun

melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata:

“Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu),

oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajari sihir).”

[al-Baqarah 2:102]

. Objektif memasukkan ke dalam neraka: Orang yang berurusan dengan sihir akan menerima padah yang buruk di Hari Akhirat, termasuk diazab di dalam neraka
 
. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara (sihir)

yang hanya membahayakan mereka

dan tidak memberi manfaat kepada mereka.

Dan demi sesungguhnya mereka telahpun mengetahui

bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu,

tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di Akhirat.

Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka,

kalaulah mereka mengetahui.

[al-Baqarah 2:102]
[37]

Sunday, July 31, 2011

Menepis Ancaman Syaitan



Menepis Ancaman Syaitan

Abu Numair Nawawi B. Subandi


Syaitan adalah makhluk Allah dari kalangan jin yang diciptakan dari api. Manakala Iblis adalah salah satu nama dari kalangan syaitan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyatakan:

خُلِقَتْ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ

“Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyalaan api dan Adam (manusia) diciptakan dari apa yang telah dijelaskan kepada kamu.” (Hadis Riwayat Muslim, 14/273, no. 5314)

Detik mula kesesatan syaitan adalah apabila ia takbur lagi ujub dengan penciptaan dirinya, mempertikaikan perintah Allah dengan mendahulukan logik, menghina ciptaan Allah, serta ingkar dengan kebenaran dan enggan sujud kepada Adam. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا لَكَ أَلا تَكُونَ مَعَ السَّاجِدِينَ
قَالَ لَمْ أَكُنْ لأسْجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقْتَهُ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ

Allah berkata kepada Iblis, “Wahai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama-sama mereka yang sujud itu?” Iblis menjawab, “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk.” (Surah al-Hijr, 15: 32-33)

Syaitan merupakan tentera Iblis yang sesat lagi menyesatkan. Bahkan ia adalah makhluk yang dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga hari kiamat serta akan dihumban ke dalam jahannam bersama-sama para pengikutnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:

قَالَ فَاخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ
وَإِنَّ عَلَيْكَ اللَّعْنَةَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ
قَالَ رَبِّ فَأَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ
إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ
قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لأزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأرْضِ وَلأغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ
إِلا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

Allah berkata (kepada Iblis), “Keluarlah dari Syurga, kerana sesungguhnya engkau adalah terkutuk. Dan sesungguhnya laknat ke atas engkau tetap akan menimpa sehingga hari kiamat.” Iblis menjawab, “Ya Tuhan-ku, maka berilah tangguh kepadaku sehingga hari kebangkitan.” Allah berfirman, Maka engkau termasuk yang diberi tangguh sehingga ke suatu waktu yang telah ditentukan.” Iblis berkata, “Wahai Tuhanku, disebabkan Engkau telah memutuskan bahawa aku ini sesat, maka aku berjanji akan memperindahkan (segala bentuk kemungkaran) kepada Adam dan keturunannya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka.” (Surah al-Hijr, 15: 34-39)

Di ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berkata kepada Iblis:

اذْهَبْ فَمَنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزَاؤُكُمْ جَزَاءً مَوْفُورًا
وَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ مِنْهُمْ بِصَوْتِكَ وَأَجْلِبْ عَلَيْهِمْ بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِي الأمْوَالِ وَالأولادِ وَعِدْهُمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلا غُرُورًا

“Pergilah! Kemudian sesiapa yang mengikuti engkau dari kalangan mereka, maka sesungguhnya neraka jahannamlah balasan untuk kamu semua sebagai balasan yang mencukupi. Desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu, dan kerahkanlah para pendukung kamu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka. Dan bersama-samalah dengan mereka dalam urusan harta dan anak-anak, dan berikanlah janji kepada mereka.” Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu-daya semata-mata. (Surah al-Isra’, 17: 63-64)

Demikian serba ringkas petikan penjelasan kesesatan syaitan dan janji mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk menyesatkan manusia ke lembah kesyirikan. Hanya mereka yang mukhlis (ikhlas) akan mendapat perlindungan dan jaminan Allah dari ancaman jerat-jerat syaitan.

Selain syaitan dari kalangan jin secara hakiki, syaitan juga wujud dalam kalangan manusia dari sudut sifat. Iaitu sifat menghasut manusia kepada kejahatan dengan perkataan-perkataan indah yang memperdaya. Serta dengan cara mengada-adakan sesuatu (dalam agama) yang kelihatan indah supaya orang tertarik lalu menjadi sesat. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الإنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia. Jika Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.” (Surah al-An’am, 6: 112)

Menepis Gangguan Syaitan

Sebagaimana disebutkan dalam banyak dalil al-Qur’an dan al-Hadis, syaitan tidak akan mampu mengancam umat manusia selagi mereka ikhlas dalam mengikuti dan menegakkan agama Allah. Pada hari ini, keikhlasan dalam beragama begitu sukar ditemui. Sehingga pada hari ini ada yang mengamalkan agama semata-mata kerana mahu meraih kerjaya, harta, kerana bertaqlid kepada tuan guru, demi parti politik, demi mendapat kedudukan, dan demi memperjuangkan aliran atau kelompoknya semata-mata.

Keduanya, syaitan tidak mampu menggugat orang-orang yang memiliki iman dan ketaqwaan yang teguh. Sebaliknya syaitan mudah menguasai orang-orang yang tidak menjaga diri dari kesyirikan serta suka mengikuti perangai dan jejak langkah syaitan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُمْ بِهِ مُشْرِكُونَ

“Sesungguhnya syaitan itu tidak memiliki sebarang kekuasaan terhadap orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya kekuasaan syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan ia pemimpin mereka, dan orang-orang yang melakukan kesyirikan kepada Allah dengan sebab hasutan mereka.” (Surah an-Nahl, 16: 99-100)

Di antara contoh perangai dan jejak langkah syaitan yang disebutkan dalam al-Qur’an dan as-Sunnah adalah mendahulukan akal dari naqli, bersikap takbur, ujub, sombong, suka megeluarkan bunyi ketika menguap dan tidak menahannya (atau menutupnya), makan atau minum dengan tangan kiri, suka membazir, membuang masa, sengaja tidak menutup makanan, sengaja keluar ketika waktu senja, suka bersendirian, suka menimbulkan perselisihan, dan suka memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

Ketiga, syaitan menjauhi orang yang sentiasa berzikir mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu dengan zikir-zikir yang dianjurkan atau disyari’atkan oleh Allah Subhaanhu wa Ta’ala sama ada melalui Kitab-Nya atau sunnah Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Terdapat beberapa bentuk zikir yang disunnahkan dalam rangka menepis ancaman dan gangguan syaitan. Iaitu dengan membaca basmalah, isti’azah atau ta’awwudz (doa-doa memohon perlindungan kepada Allah), dan mengamalkan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dari al-Qur’an sebagaimana anjuran as-sunnah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ

“Dan jika engkau digoda dengan suatu godaan dari syaitan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh suatu bentuk was-was (godaan) dari syaitan, mereka pun ingat (kepada Allah) lalu dengan itu mereka melihat (jalan yang benar).” (al-A’raaf, 7: 200-201)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَإِذَا لَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ طَعَامِهِ قَالَ أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ

“Apabila seorang lelaki masuk ke rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah ketika dia masuk dan ketika dia makan, maka syaitan pun berkata (kepada kaumnya), “Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk kamu semua.” Apabila dia masuk tanpa berzikir kepada Allah ketika dia masuk, maka syaitan pun berkata, “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam.” Apabila dia tidak berzikir ketika makan, maka syaitan pun berkata, “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam berserta makan malam.” (Hadis Riwayat Muslim, 10/293, no. 6762)

Sebagai contoh, dijelaskan dalam hadis yang lain, di antara zikir (atau doa) ketika hendak makan adalah membaca basmalah, manakala setelah makan pula dengan mengucapkan hamdalah (pujian kepada Allah). Zikir di ketika hendak tidur pula antaranya dengan membaca ayat al-Kursi, atau surah al-Ikhlas dan al-Mu’awwidzatain (surah an-Naas dan al-Falaq).

Demikianlah Allah dan Rasul-Nya mengajarkan kepada kita bagaimana menepis ancaman dan mengusir gangguan syaitan yang terlaknat. Malah dalam beberapa hadis yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turut menjelaskan kaedah tuntas mengusir atau menjauhkan syaitan dari menghuni rumah-rumah kita. Bukan dengan kenduri doa selamat, bukan dengan ritual “pagar rumah”, bukan dengan menabur air garam, bukan dengan meniup asap kemenyan, bukan dengan menggantung ayat-ayat al-Qur’an tertentu, bukan juga dengan majlis bacaan Yasin, apatah lagi dengan memasang tangkal-tangkal.

Tetapi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

“Jangan jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan itu melarikan diri dari rumah yang di dalamnya dibacakan Surah al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/182, no. 1300)

Selain itu, Nabi turut menjelaskan boleh juga dengan mengamalkan bacaan ayat al-Kursi di setiap waktu pagi dan petang, membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah, dan juga dengan memperbanyakkan membaca al-Qur’an di rumah secara umum di samping berusaha bersungguh-sungguh mengamalkannya. Perlu kita fahami bahawa syaitan tidak takut sedikitpun dengan al-Qur’an, tetapi syaitan amat takut dengan orang yang membaca dan mengamalkan al-Qur’an. Wallahu a’lam.



an-nawawi.blogspot.com

Jumaat, Julai 29, 2011

http://an-nawawi.blogspot.com/2011/07/menepis-ancaman-syaitan.html