SYAITAN MERASUK MANUSIA DLM KONDISI YG TIDAK KITA JANGKAKAN
Syaitan mampu untuk bergerak dalam diri manusia dan melakukan pelbagai
pengaruh ke atas manusia yang dimasukinya. Dalam suasana itu manusia
yang dipengaruhi masih dalam keadaan yang normal. Akan tetapi adakalanya
syaitan dapat mempengaruhi manusia hingga mengubah perwatakan dan
tingkah lakunya, menjadi seolah-olah orang yang gila. Inilah yang disebut sebagai kerasukan atau histeria. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan tentang kemampuan syaitan ini:
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba
tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya
orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu.
[al-Baqarah 2:275]
Kerasukan tidak saja terhad kepada orang yang melibatkan diri dalam
urusniaga riba, tetapi meluas kepada pelbagai keadaan yang lain.
Merujuk
kepada persoalan kerasukan dan hubungkaitnya dengan syaitan, manusia
terbahagi kepada tiga golongan:
1.Mereka yang menafikannya.
Golongan ini berkata, kerasukan tidak berpunca dari syaitan sebaliknya
berpunca dari penyakit tertentu seperti gangguan saraf, perubahan
hormon, tekanan jiwa (stress) dan sebagainya. Penyakit-penyakit ini
dapat dihentikan dengan mengambil ubat.
2.Mereka yang
berlebih-lebihan. Golongan ini mengakui bahawa kerasukan berpunca dari
syaitan. Akan tetapi mereka berlebih-lebihan dalam menyandarkannya
kepada syaitan sehingga apa jua perubahan tingkah laku (behaviour) yang
dihadapi oleh seseorang, mereka menganggapnya sebagai kerasukan syaitan.
3.Mereka yang berada di pertengahan antara golongan pertama dan
kedua.
Golongan ketiga ini berkata kerasukan boleh berpunca dari
penyakit dan boleh juga berpunca dari syaitan. Maka kerasukan pertama
(penyakit) dihentikan dengan ubat-ubatan manakala kerasukan kedua
(syaitan) dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam. Jika tidak pasti kerasukan yang dialami
oleh seseorang sama ada berpunca dari penyakit atau syaitan, maka ia
dihentikan dengan ubat dan zikir.
Ada pun hujah golongan
pertama bahawa kerasukan hanya berpunca dari penyakit, mereka
membuktikannya dengan pelbagai penemuan baru tentang apa yang sedang
berlaku dalam badan. Bahkan dengan peralatan serba canggih masa kini,
mereka dapat menunjuk secara tepat bahagian saraf yang sedang mengalami
gangguan dan keadaan hormon badan yang tidak seimbang. Maka apabila
diberi ubat, apa yang dianggap sebagai kerasukan dapat dihentikan.
Akan tetapi, sekali pun dengan segala penemuan dan alat canggih
tersebut, tetap timbul satu persoalan yang masih tidak dapat dijawab
oleh para pakar perubatan: Mengapa saraf mengalami gangguan dan mengapa
sebahagian kelenjar merembeskan hormon secara berlebihan? Benar, bahawa
semua itu dapat dihentikan dengan mengambil ubat tertentu. Akan tetapi
mengapakah kerasukan berulang apabila ubat habis dimakan?
Jawapannya dapat diperolehi dengan mengkaji peranan syaitan. Apabila
syaitan memasuki tubuh badan manusia, ia mampu mengganggu kestabilan
saraf dan keseimbangan hormon. Bahkan ia mampu melakukan pelbagai lagi
yang tidak dianggap sebagai kerasukan, seperti mematikan saraf
(paralyse), menyumbat saluran darah (blood clot) dan merangsang sel-sel
tertentu untuk berkembang dengan pantas secara tak terkawal (tumor and
cancer). Semua ini amat mudah bagi syaitan dan semua ini akan diakui
oleh sesiapa yang mengkaji secara teliti kesemua ciri-ciri syaitan yang
dikupas dalam bab ini.
Walaubagaimana pun, ini tidaklah
bererti semua penyakit dan gangguan tingkah laku berpunca dari syaitan.
Sebahagiannya berpunca dari faktor lain seperti gizi pemakanan yang
tidak seimbang, kecederaan fizikal, tekanan jiwa, usia tua dan
sebagainya. Maka tidaklah benar anggapan golongan kedua bahawa semua
perubahan kelakuan berpunca dari syaitan.
Yang benar
adalah bahawa kerasukan mungkin berpunca dari penyakit dan mungkin juga
berpunca dari syaitan. Maka apa yang berpunca dari penyakit, ia
dihentikan dengan ubat-ubatan yang diberi oleh doktor pakar manakala apa
yang berpunca dari syaitan, ia dihentikan dengan zikir-zikir yang
diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika tidak pasti
sama ada kerasukan berpunca dari penyakit atau syaitan, maka kedua-dua
kaedah digunakan serentak untuk menghentikannya.
Seterusnya, peranan syaitan dalam menyebabkan kerasukan kepada manusia terbahagi kepada dua kategori:
Kategori Pertama:
Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan kemahuannya sendiri.
Sengaja syaitan merasuk manusia untuk menyesatkannya, mengkafirkannya,
mensyirikkannya dan memasukkan mangsa tersebut ke dalam neraka. Semua
ini dapat dicapai oleh syaitan apabila mangsa atau orang di
sekelilingnya cuba mengubati kerasukan itu dengan cara yang berbeza dari
tunjuk ajar Rasulullah, bahkan dengan cara yang dilarang oleh Islam.
Kategori Kedua:
Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan perintah tuannya. Ini
disebut sebagai sihir. Sihir adalah satu tindakan jahat yang memerlukan
dua unsur utama:
Manusia sebagai ahli sihir sekali gus merangkap jawatan “Tuan”.
Syaitan sebagai khadam yang melakukan kerja sihir yang diperintah oleh tuannya.
Melalui sihir syaitan dapat mencapai beberapa objektifnya.
Secara terperinci:
· Objektif untuk Menyesatkan:
Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka tidak tahu
cara perubatan sahih yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam. Mereka berjumpa dengan mana-mana bomoh atau ustaz yang masyhur
di sisi masyarakat untuk berubat dan menerima apa saja kaedah perubatan
yang diberikan olehnya. Bahkan mereka tidak tahu apakah maksud
jampi-jampian yang dibacakan ke atas mereka. Akibatnya, mereka telah
meninggalkan jalan Rasulullah kepada jalan lain yang menyesatkan.
· Objektif untuk Memusyrikkan:
Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka meletakkan
keyakinan bahawa pengaruh kesembuhan adalah dari bomoh atau ustaz yang
sedang mengubatinya beserta bacaan-bacaan jampi mereka. Padahal
satu-satunya pengaruh untuk kesembuhan ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Apabila keyakinan seseorang terhadap kuasa yang dapat memberi manfaat
dan mudarat kepadanya beralih dari Allah kepada sesuatu yang lain, dia
telah syirik kepada Allah.
· Objektif untuk Mengkafirkan:
Satu contoh mudah, apabila Jamal ingin berbuat jahat kepada Jamilah,
dia akan menemui seorang ahli sihir bernama Ahmad dan menyampaikan
hajatnya. Ahmad akan memerintah khadamnya, yakni syaitan, untuk membuat
apa yang dihajatkan oleh Jamal ke atas Jamilah. Perbuatan itu pelbagai,
dari muntah darah, gangguan pemikiran sehinggalah kepada kerasukan.
Inilah yang lazim disebut sebagai “kena buat orang!”
Untuk
melawan buatan sihir itu, Jamilah akan pergi menemui seorang ahli sihir
lain bernama Kamal dan menyampaikan hajatnya. Kamal akan memerintahkan
khadamnya, yakni syaitan, untuk membuatkan apa yang dihajatkan oleh
Jamilah ke atas Jamal. Demikianlah ia berulang antara Jamal dan Jamilah.
Dalam contoh di atas, syaitan berjaya mengkafirkan kesemua Jamal,
Jamilah, Ahmad dan Kamal. Sekali pun syaitan disebut sebagai “khadam”,
sebenarnya ia adalah tuan kepada semua yang terbabit, termasuklah Ahmad
dan Kamal. Syaitan hanya berpura-pura menjadi khadam asalkan dengan itu
tercapailah objektifnya untuk mengkafirkan manusia.
Sesiapa
saja yang terlibat dengan sihir, sama ada untuk menyihir atau melawan
sihir dengan sihir, akan menjadi kafir
Berdasarkan firman Allah
Subhanahu wa Ta'ala:
Mereka mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan
dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman,
padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu,
akan tetapi syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya);
Kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir
dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat:
Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon),
sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun
melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata:
“Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu),
oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajari sihir).”
[al-Baqarah 2:102]
. Objektif memasukkan ke dalam neraka: Orang yang berurusan dengan
sihir akan menerima padah yang buruk di Hari Akhirat, termasuk diazab di
dalam neraka
. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara (sihir)
yang hanya membahayakan mereka
dan tidak memberi manfaat kepada mereka.
Dan demi sesungguhnya mereka telahpun mengetahui
bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu,
tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di Akhirat.
Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka,
kalaulah mereka mengetahui.
[al-Baqarah 2:102][37]
~